Monday, 11 November 2013

SEJARAH : DATO' MEOR ABDUL RAHMAN BIN DAENG UDA MOHD HASHIM





1)      SUSUR GALUR KELUARGA DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN

·         Mahaguru Silat Seni Gayong ialah Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim. Beliau ialah seorang yang berketurunan Raja Bugis dan Arab daripada susur galur Al-Attas.
·         Moyang beliau yang terkenal berhijrah ke Tanah Melayu ialah Tengku Daeng Kuning. Daeng Kuning merupakan seorang pahlawan terkenal yang digelar sebagai Panglima Hitam. Daeng Kuning dikatakan mewarisi ilmu kependekaran daripada nenek moyangnya yang juga seorang pendekar dan dikenali sebagai Pahlawan Gayong.
·         Pahlawan Gayong ialah seorang pendekar terbilang yang menguasai ilmu persilatan secara zahir dan kebatinan. Beliau amat tersohor di Kepulauan Melayu dan digeruni oleh lawannya. Ada sumber yang mengatakan bahawa Dato’ Laksamana Hang Tuah adalah pewaris amanah ilmu Pahlawan Gayong. Seterusnya ilmu tersebut diturunkan kepada Dato’ Meor Abdul Rahman sebagai waris zuriat Pahlawan Gayong.
·         Daeng Kuning berhijrah dari Sulawesi ke Tanah Melayu selepas 1800 masihi. Penghijrahan tersebut ditemani oleh saudara-mara beliau yang terdiri daripada Daeng Merewah,Daeng Celak,Daeng Parani,Daeng Pelangi,Daeng Mempawah dan Daeng Jalak. Mereka tujuh bersaudara berlayar ke Tanah Melayu untuk membina kehidupan baru dan menyatupadukan pahlawan-pahlawan Melayu.
·         Penghijrahan bangsa Bugis ke Tanah Melayu dipercayai bermula dari tahun 1667 masihi apabila Makasar,Sulawesi jatuh ke tangan Belanda. Pahlawan Bugis yang terkenal di gugusan Melayu pada ketika itu ialah Daeng Rilaka dan lima orang putera beliau bernama Daeng Parani,Daeng Merewah,Daeng Menambun,Daeng Celak dan Daeng Kemasi.
·         Penghijrahan Daeng Kuning tujuh bersaudara ini berkemungkinan besar susulan daripada dasar campur tangan Kerajaan Belanda yang semakin berleluasa di Kepulauan Sulawesi. Ada sumber yang mengatakan bahawa Daeng Kuning adalah zuriat keturunan Daeng Merewah bin Daeng Rilaka. Dua buah rombongan ini sudah pasti terdiri daripada orang yang berlainan walaupun ada persamaan pada sesetengah nama. Ini berdasarkan perbezaan masa yang agak ketara. Walau bagaimanapun,kaitan kekeluargaan antara satu sama lain tidak dinafikan.
·         Penghijrahan mereka itu tadi bukanlah bermaksud lari daripada medan peperangan,ia sebenarnya satu cara untuk menyusun strategi balas. Matlmat mereka ialah untuk mengumpulkan para pahlawan Melayu bagi menentang kuasa-kuasa asing yang menjajah negeri-negeri di Nusantara.
·         Daeng Kuning dan saudaranya telah mempelopori gerakan gerila untuk melumpuhkan pentadbiran penjajah di negeri-negeri Melayu. Walaupun ramai pahlawan Bugis terlibat secara langsung dengan kancah politik negeri-negeri Melayu seperti di Sumatera,Jawa,Semenanjung Tanah Melayu,Temasik dan Kepulauan Riau,namun mereka tidak bersatu-padu. Malahan,ada di antara mereka yang menjadi askar upahan kuasa-kuasa asing dan berperang antara sendiri.
·         Oleh sebab itulah ketika berlayar di tengah lautan,Daeng Kuning telah mengingatkan kembali matlamat penghijrahan mereka. Pesanan tersebut disampaikan melalui bentuk pantun kepada saudara-mara beliau yang berbunyi ;

Pecah Gayong di dalam dulang,
Dulang hanyut di lautan Tujuh,
Perpecahan Gayong perpecahan sayang,
Suatu masa dan ketika kembali berteguh.

·         Dalam tahun 1813 masihi,Daeng Kuning tujuh bersaudara telah mendarat di Kuala Larut,Perak sebelum pemerintahan Sultan Abdullah. Buat sementara waktu mereka bermastautin di suatu tempat yang mereka namakan sebagai Pengkalan Alur atau Relur Tujuh. Kini tempat tersebut dipanggil Kampung Ayer Kuning,terletak di Taiping,Perak.
·         Hanya Daeng Kuning menetap di Pengkalan Alur dan bertapa buat beberapa ketika di dalam sebuah gua di Bukit Larut. Manakala saudara Daeng Kuning yang lain bergerak menuju ke Pahang,Terengganu,Johor,Selangor,Melaka dan Kedah. Ada yang terus menetap di negeri singgahan mereka namun ada antaranya yang meneruskan perjalanan berikutnya ke Kepulauan Melayu lain. Daeng Kuning telah mendirikan rumahtangga dengan seorang puteri raja Patani. Perkahwinan tersebut menghasilkan seorang cahaya mata lelaki yang dinamakan Che Ngah Tambah.
·         Daeng Kuning digelar oleh penduduk tempatan sebagai Tok Hitam Dam. Gelaran tersebut cukup terkenal hinggakan sebatang jalan di Kampung Pokok Assam dinamakan Jalan Tok Hitam Dam. Daeng Kuning mangkat di Taiping,Perak dalam tahun 1875 masihi. Makam beliau terletak di Kampung Tupai,berdekatan Jalan Pokok Assam di Taiping. Ia telah diwartakan sebagai bahan sejarah dan kini terletak di bawah jagaan Muzium Negara menurut Akta Benda Purba,1976.
·         Anak tunggal Daeng Kuning,Che Ngah Tambah juga memiliki ilmu yang tinggi dan sifat kepimpinan yang unggul. Beliau merupakan tokoh yang membuka Daerah Larut-Matang dan dilantik menjadi seorang Penghulu Besar bagi daerah tersebut.
·         Atas kewibawaan beliau,Che Ngah Tambah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang daripada Orang Besar Enam Belas Negeri. Che Ngah Tambah menetap di Kampung Ayer Kuning dan mempunyai empat orang isteri.
·         Che Ngah Tambah merupakan seorang pembesar yang pemurah dan amat disegani. Tanah-tanah dalam bidang kuasanya diagih-agihkan kepada penduduk tempatan atau sesiapa sahaja yang layak untuk mengusahakan atau dibuat penempatan.
·         Pemimpin-pemimpin Cina yang menjalankan aktiviti perlombongan di dalam daerahnya juga amat menghormati beliau. Anak Che Ngah Tambah yang bernama Alang Abdul Rahman telah dikahwainkan dengan salah seorang anak pemimpin Cina. Pemimpin Cina berkenaan menawarkan anak beliau sebagai tanda persahabatan dan hormat atas kepimpinan Che Ngah Tambah.
·         Hasil perkongsian hidup Che Ngah Tambah dengan salah seorang isteri beliau,Allah S.W.T telah mengurniakan lima orang cahaya mata. Anak-anak mereka terdiri daripada Long Khadijah,Mariah,Uda Mohd Hashim,Aminah dan Mariam. Anak-anak Che Ngah Tambah dengan isteri-isteri yang lain setakat diketahui ialah Alang Abdul Rahman,Putih Mohd Salleh dan Sareah. Che Ngah Tambah telah dimakamkan di perkarangan Masjid Taiping (lama) dan nama beliau juga diabadikan pada sebatang jalan di Pokok Assam,Taiping.
·         Uda Mohd Hashim merupakan ayahanda kepada Dato’ Meor Abdul Rahman. Uda Mohd Hashim ialah seorang arkitek yang terkenal di Taiping. Beliau telah berkahwin dengan seorang janda berketurunan Arab bernama Sharifah Aluyah binti Syed Zainal al-Attas. Sharifah Aluyah sebelum berkahwin dengan Uda Mohd Hashim telah mempunyai tiga orang anak bernama Alin,Puteh dan Hendun.
·         Syed Zainal bin Syed Idris al-Attas berasal dari Pahang manakala isterinya ialah orang tempatan Parit,Perak. Syed Zainal pernah dilantik sebagai seorang penghulu di Pekan,Pahang. Beliau juga dikenali sebagai Dato’ Jenal. Beliau ialah salah seorang pembesar Pahang yang menentang penjajahan British bersama-sama dengan Dato’ Mat Kilau dan Dato’ Bahaman.
·         Sebaik sahaja Uda Mohd Hashim berkahwin dengan Sharifah Aluyah,mereka telah berpindah ke Lake Garden (Taman Tasek),Taiping. Uda Mohd Hashim dan Sharifah Aluyah telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz,Meor Abdul Rahman dan Siti Sa’adiah.
·         Selain menjalankan tugas seharian sebagai seorang arkitek,Uda Mohd Hashim juga adalah salah seorang Ahli Majlis Daerah Taiping. Kebanyakan reka bentuk rumah dan bangunan terutamanya di Kampung Pokok Assam dan Bandar Taiping adalah hasil kreativiti beliau. Sebagai Ahli Majlis Daerah,beliau berperanan merancang dan memajukan Daerah Taiping. Ini membuatkan beliau dikenali ramai dan dihormati.
·         Latar belakang keluarga yang begitu kuat dan berpengaruh sedikit sebanyak telah membentuk peribadi Meor Abdul Rahman sebagai seorang pahlawan dan pemimpin unggul seni silat abad ke-20.
·         Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim dilahirkan pada 17 Ogos 1918 di Kampung Lake Garden,Taiping,Perak.
·         Apabila meningkat remaja,keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Assam,Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan bersekolah menengah di Sekolah King Edwards VII,Taiping seterusnya di Government Trade School di Ipoh sehingga tahun 1935.


2)      PENDIDIKAN SILAT

·         Dato’ Meor Abdul Rahman menuntut ilmu persilatan dengan Syed Zainal bin Syed Idris al-Attas ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari datuknya. Selama lebih kurang 2 tahun,Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang dan malam.
·         Sejak di alam persekolahan menengah lagi,Meor Abdul Rahman sering berulang-alik ke rumah kakaknya,Hendon di Kota Sarang Semut,Kedah. Beliau amat rapat dengan Hendon dan suaminya,Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kota Sarang Semut sebagai inspektor.
·         Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936,beliau menetap bersama kakaknya,Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kakaknya yang bernama Che Kalsom bt Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan di Kota Sarang Semut.
·         Apabila abang iparnya,Zainal Abidin dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah di Kuala Nerang,Kedah,Meor Abdul Rahman telah sama-sama berpindah dan menetap dengan kakaknya di sana.
·         Sepanjang berada di Kuala Nerang,beliau sering berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan dengan Pegawai Daerah Kuala Nerang iaitu Tengku Nong,cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Syah.
·         Dato’ Meor Abdul Rahman telah mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong,Perak atas nasihat Syed Zainal. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan.
·         Pada sebelah malamnya,beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luar biasanya di Istana Iskandariah,Bukit Chandan,Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati dengan kegagahan Dato’ Meor Abdul Rahman,baginda sultan menggelarkan beliau ‘Rahman Sendo’ dan dijadikan anak angkat baginda. Beliau menetap bersama-sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938.




3)      BERHIJRAH KE SINGAPURA

·         Tidak  berapa lama setelah keluar dari istana,beliau ditemani Bidin bermusafir dengan kereta api ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura ialah Naval Base sebagai tukang pateri.
·         Setelah 6 bulan bekerja di sana,beliau telah ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. Pada sebelah malamnya,beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja sebagai seorang mekanik di jabatan yang sama.
·         Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack,Mejar Malburn telah melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ia merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu.
·         Dalam perjalanan pulang ke Singapura,beliau singgah di Taiping untuk menziarahi sepupunya,Nuteh binti Alang Ahmad. Beliau telah terpikat dengan anak Nuteh,Faridah bt Yusof.
·         Tidak lama selepas itu,beliau telah berkahwin dengan Faridah dan dibawa ke Singapura.
·         Menyewa bilik di Bushi Park,Prince South Street (berhampiran pawagam Cathay),kemudian disertai oleh Kalsom bt Hj.Kechik.
·         Perang Dunia ke-2 meletus di Singapura. Meor Abdul Rahman telah membina kubu bawah tanah.




4)      SEMASA PENDUDUKAN JEPUN

·         Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942,beliau telah membawa keluarganya berperahu menyeberangi laut ke Pulau Sudong. Setelah ctora menewaskan Wak Kusang,pendekar Pulau Sudong barulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana.
·         Di Pulau Sudong,Meor Abdul Rahman telah membuka gelanggang Seni Silat Gayong dengan melatih tujuh orang pemuda terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun. Atas kebijaksanaan Meor Abdul Rahman,penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.
·         Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu,Meor Abdul Rahman bekerja sebagai seorang kempeitai.
·         Tidak berapa lama kemudian,beliau telah berkahwin dengan Sharifah Rehan bt Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga semata-mata.
·         Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu dalam tahun 1945,Meor Abdul Rahman telah kembali semula ke Singapura. Setibanya di Singapura,beliau telah diundang menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong di sana.
·         Meor Abdul Rahman juga telah menyebarkan Silat Seni Gayong untuk menangani ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini,Silat Seni Gayong tersebar ke lain-lain pulau di Indonesia.
·         Tidak lama selepas itu,kerajaan British telah melantik beliau sebagai penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar Pulau Sudong.
·         Dalam tahun 1947,kerajaan British telah menawarkan beliau jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Beliau ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti-British.
·         Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Sardon bin Jubir,peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura.
·         Setelah 4 bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri,beliau memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah.
·         Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central,Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat sarjan.
·         Pada 23 Disember 1947,Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.


5)      PERKEMBANGAN SILAT

·         Pada tahun 1949,Gayong diperkenalkan kepada rakan-rakan di Jabatan Siasatan Jenayah. Tujuh orang murid pertama di tanah besar Singapura,antaranya Ahmad Suni,Mansor Fadal,Sinwan,Jonid Hanim,Salim dan Hosni Ahmad.
·         Bakar Sampah menjadi pusat latihan Gayong bagi tahun 1950-an.
·         Tahun 1954,barisan wanita pertama yang menyertai Gayong ialah kedua-dua isteri Meor Abdul Rahman,Aisyah,Rafeah Fadal,Hindun,Intan. Mereka diserahkan di bawah pengawasan Ustaz Salim dan Said.
·         Jonid telah dilantik menjadi Wakil Tunggal di Singapura semasa ketiadaan Meor Abdul Rahman.
·         Tahun 1955,Gayong berkembang di Studio Jalan Ampas. Antara yang menyertainya ialah Jasni Ahmad,Neng Yatimah,Kasma Booty,A.Rahim dan Nordin Ahmad.
·         Gelanggang Gayong di Singapura pada tahun 1950-an:
-          Bakar sampah
-          Jalan Red Hill
-          Kg.Ubi
-          Sek.Men.Victoria
-          Balestiar Road
-          Kg.Tentera British
-          Kg.Melayu
-          Sim Avenue

·         Tahun 1957,Tengku Kassim,Tengku Laksamana Kedah datang ke Singapura menemui Meor Abdul Rahman.
·         Rombongan Silat Seni Gayong seramai 43 orang mengadakan persembahan silat di Sultan Abdul Hamid Sport Club.
·         Tahun 1959,Dato’ Onn Jaafar bertemu dengan Meor Abdul Rahman dan melamar untuk menjadi ahli Gayong. Dato’ Onn telah dilantik sebagai Penasihat dan Waris Beradat Gayong.
·         Meor Abdul Rahman diundang ke Melaka untuk mengadakan persembahan silat di Bukit Lintang.
·         Lembaga Beradat Gayong mula dibentuk dengan perlantikan Orang Besar Empat,Orang Besar Lapan,Orang Besar Enam Belas,dan Orang Besar Tiga Puluh Dua.
·         Meor Abdul Rahman bersama Dato’ Onn Jaafar serta rombongan Gayong dari Singapura telah melawat Kedah.
·         Tahun 1961,Meor Abdul Rahman bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan menumpukan perhatian untuk mengembangkan Gayong,berpusat di kediamannya,di no13A,Lorong Fatimah,Woodlands,Singapura.
·         9 Disember 1961,Sharifah Aluyah meninggal dunia dan dimakamkan di Ayer Kuning.
·         Tahun 1962,Meor Abdul Rahman melawat Kedah dan membawa guru-guru dari Kedah untuk mengembangkan Gayong di Negeri Sembilan,Johor,dan Singapura.
·         Beliau telah mendaftarkan Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan berdaftar. Dato’ Onn telah merangka perlembagaan pertubuhan.
·         Seterusnya mereka bergerak naik ke Melaka dan membuka gelanggang di Taboh Naning,Alor Gajah dan Bukit Lintang.
·         Dato’ Meor Abdul Rahman telah melantik Abd Majid Mat Isa menjadi Gurulatih Tertinggi merangkap Timbalan Pengarah Silat Seni Gayong.
·         Setibanya Dato’ Meor Abdul Rahman di Perak bersama-sama tujuh orang guru dari kedah,mereka telah membuka gelanggang di Kampung Ayer Kuning,Kampung Terong,dan Kampung Lubuk Terong.
·         22 Oktober 1963,pendaftaran Silat Seni Gayong diluluskan dan dikenali sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong dengan nombor pendaftaran 361.
·         Tahun 1964,Mesyuarat Agung PSSGM pertama di Gurun,Kedah. Dato’ Meor Abdul Rahman sebagai YDP manakala Meor Abdul Aziz sebagai NYDP.
·         Ibu pejabat PSSGM berpindah ke Kota Sarang Semut-Dato’ Meor Abdul Rahman turut berpindah dari Singapura dan menetap di Kedah.
·         Gayong Perdana yang pertama diadakan di Stadium Darul Aman,Alor Setar dan dirasmikan oleh Sultan Kedah,Sultan Abdul Hamid Muadzam Syah.
·         18 Februari 1964,Uda Mohd Hashim meninggal dunia dan dimakamkan di Ayer Kuning.
·         Tahun 1965,Perdana Gayong kedua diadakan di Stadium Kubu,Melaka.
·         Tahun 1966,Meor Abdul Aziz meninggal dunia.
·         Tahun 1967,istiadat pertabalan ahli Lembaga Beradat diadakan di Ayer Kuning,Taiping.
·         31 Ogos 1967,sambutan 10 tahun Merdeka-500 orang ahli Gayong telah mengetuai perbarisan.
·         Tahun 1969,Dato’ Meor Abdul Rahman menetap di Ayer Kuning,Taiping. Dato’ Harun Hj.Idris diisytihar sebagai Imam Khalifah Selangor.
·         Tahun 1971,Meor Abdul Rahman dikurniakan darjah kebesaran Dato’ Paduka Chura Simanjakini (DPCM) oleh Sultan Perak,yang telah membawa gelaran Dato’. Dato’ Meor Abdul Rahman telah menggelarkan Sultan Perak,Sultan Idris Syah dengan gelaran Sang Sapurba Negara.
·         Silat Seni Gayong diperkenalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.




6)      MENEWASKAN BRUCE LEE

·         Pada tahun 1973,Dato’ Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato’ Syed Ahmad Jamalullail,saudaranya.
·         Dalam perjalanan pulang ke tanah air,pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya,beliau telah disapa oleh Bruce Lee,pakar Kung Fu dan seni bela diri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong,Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.
·         Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee,si Raja Kung Fu,Bruce Lee telah mencabar Dato’ Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu,silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik,tetapi jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu,Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato’ Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee.
·         Sebelum daripada itu,pada tahun 1972,serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato’ Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut,mereka telah mencabar Dato’ Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato’ Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato’ Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.
·         Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato’ Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak,maka Dato’ Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato’ Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut.
·         Sebaik sahaja melihat Dato’ Meor Abdul Rahman telah bersedia,Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak,akhirnya Dato’ Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Senandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan tangan Dato’ Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee,Dato’ Meor Abdul Rahman pun menawarkan penawar pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut.

·         Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato’ Meor Abdul Rahman tersebut,akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri,mengakui kehebatan Dato’ Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya.




7)      ERA BARU SILAT

·         Tahun 1970-an,usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong yang dirancang sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja-raja dan para pembesar Melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh Tanah Melayu dan Brunei.
·         Pada suatu ketika,hampir 2\3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong.
·         Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi pertubuhan seni bela diri terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni Gayong pada tahun 1976 dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh negara.
·         Tahun 1974,Balai Adat baru dibina,khas untuk dilangsungkan upacara adat istiadat pertabalan,penganugerahan tauliah dan bengkung tertinggi.
·         Dato’ Meor Abd.Rahman melawat Sabah,bertemu Tun Datu Mustapha,Ketua Menteri Sabah.Tun Datu Mustapha telah dilantik sebagai Imam Khalifah Gayong bagi Negara-negara Islam.
·         Tahun 1975,Tun Abdul Razak ditabalkan sebagai Timbalan Imam Khalifah Agung Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau.
·         Tahun 1976,Dato’Meor Abd.Rahman dan isteri pertama,Kalsom Hj.Kechik melawat Sarawak, bertemu dengan Datuk Patinggi Hj. Abdul Rahman Yaakub,Ketua Menteri Sarawak.
·         11 Disember 1976,Televisyen BBC London merakamkan upacara Mandi Minyak di Dewan Belia Kampung Pandan yang dijalankan oleh Dato’ Meor Abdul Rahman.
·         Julai 1977,Perkhataman keris kali kelima di Teluk Batik,Perak.
·         Ogos 1977,Cikgu Abd.Majid Mat Isa dilucutkan jawatannya sebagai Gurulatih Tertinggi PSSGM oleh Dato’ Meor Abdul Rahman.
·         April 1978,Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia(PSSPGM) ditubuhkan dan didaftarkan di Pulau Pinang.
·         Tahun 1985,Dato’ Meor Abdul Rahman melawat ke Brunei kali pertama. Menghadap Sultan Brunei.
·         Januari 1986,Datin Kalsom Hj. Kechik meninggal dunia.
·         Mac 1986,Dato’ Meor Abdul Rahman melawat Brunei kali kedua.
·         Dato’ Meor Abdul Rahman bersama Tuan Haji Ahmad Nayan bin Saad melawat London.
·         Tahun 1987,Dato’ Meor Abdul Rahman menghadiri Kejohanan Silat Sedunia di Kuala Lumpur. Pengakuan ctor terkenal Indonesia,Dicky Zulkarnain bahawa bukan beliau yang menewaskan Bruce Lee tetapi Dato’ Meor Abd.Rahman.
·         Tahun 1989,Pertabalan ahli Lembaga Beradat Selangor dan perlantikan Tan Sri Muhammad bin Muhd. Taib sebagai Imam Khalifah Gayong Selangor.
·         Tahun 1991,Perkhataman keris terakhir yang dijalankan oleh Dato’ Meor Abd.Rahman di Port Dickson,Negeri Sembilan.
·         23 Jun 1991,Dato’ Meor Abdul Rahman meninggal dunia di Ipoh Specialist Centre. Beliau dimakamkan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Lama,Taiping.
·         Beliau meninggalkan seorang balu,Datin Faridah Yusof dan anak-anaknya,Siti Fadhilah,Siti Kalsom,Badek Ruzaman,Sazali,Shahira dan lain-lain.